Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Cubalah
tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang
melekat di jari anda – warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke
jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih
terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak
tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan
mahukan diawetkan.
Rama-rama
ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun
setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya.
Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.
Begitulah
wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah,
apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga
rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada
apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.
Rama-rama
terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan
diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong
yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada
siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.
Sulitnya
untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan
evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar
menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik
wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda
dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba
susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah
terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah
memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda
tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.
Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar
– indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah
dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni
yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama
mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada
terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak
diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.
Kalaulah
rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia,
dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia
mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama
tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda
tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang
penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.
Mahalkan
harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda
di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi
tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.
Usah
terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna
anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita
angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.
Nilai
anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda
tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu
terjemahan pada kasih sayang
dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya
anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.
Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang..
~ "Wanita tidak seharusnya menjadi bulan yang boleh ditatap semua, tetapi perlu menjadi matahari yang silaunya akan membuat Adam tertunduk sebelum memandangnya.."~
~ "Wanita tidak seharusnya menjadi bulan yang boleh ditatap semua, tetapi perlu menjadi matahari yang silaunya akan membuat Adam tertunduk sebelum memandangnya.."~
No comments:
Post a Comment