Tuesday, October 25, 2011

JOm Usrah..


Usrah Nadi Terkecil

Sesungguhnya perjalanan meniti saki-baki kehidupan sememangnya mencabar, dan memerlukan kekuatan dan keteguhan iman. Maksud ayat Al-Qur'an: Dan tidak aku jadikan jin dan manusia ini melainkan untuk beribadat. Menjadi tuntutan dan taklifan pada kita untuk mengawasi tingkah laku kita, agar setiap gerak-geri kita adalah ibadat kepada Rabbul Jalil.

Tuntutan untuk beribadat kepada Allah bukanlah tugas yang mudah dan bukan juga tugas yang payah lagi memberatkan, kerana sesungguhnya Allah berfirman dalam Al-Qur'an, mafhumnya: Dan tidaklah aku jadikan dalam perkara agama ini satu kepayahan.

Namun lantaran keadaan dan situasi yang melanda, dengan pelbagai serangan fikiran daripada musuh Dinullah sama ada jin mahupun manusia, maka kita lihat hari ini urusan agama Allah terasakan berat dan seribu satu kepayahan padanya. Lantaran jiwa, fikiran dan persekitaran telah dikuasai oleh sejuta satu maksiat, maka Islam yang indah menjadi hodoh. Justeru, berjayalah orang-orang yang mensucikan dirinya dengan mujahadah seperti mana firman Allah dalam ayat 9 surah as-Syams, dan beruntunglah orang-orang yang membantu agama Allah kerana Allah menjanjikan magfirah atas segala jihad di jalan Allah.

Maka dengan ini usrah merupakan nadi terkecil yang dapat membantu manusia meningkatkan iman dan pengetahuan mereka di samping menggerak masyarakat sekitar untuk sama-sama menghayati Islam. Bertapa penting Dinullah untuk diketahui, difahami dan dihayati serta diamalkan dan seterusnya disebarkan, begitulah pentingnya usrah, kerana ia merupakan wasilah untuk memahami Islam dan qadiyah semasa dan diamalkan seterusnya di sebarkan.


Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ini seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.

Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah...




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...